Thursday, March 13, 2008

jeng..jEng...jEng..tungguuuuuuuuu

Istana Terengganu ‘tolak’ Idris?

Oleh Nor Aziah Jaafar dan Wan Ramli Wan Mohamad

KUALA TERENGGANU 12 Mac – Terengganu mungkin memperoleh Menteri Besar yang baru apabila nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Jusoh dikatakan ‘tidak diperkenan’ oleh pihak istana untuk memegang jawatan itu bagi penggal kedua.
Sumber Istana Terengganu ketika dihubungi mengesahkan sehingga hari ini Idris tidak mendapat ‘restu’ untuk meneruskan tugas tersebut walaupun beliau berjaya mengetuai Barisan Nasional (BN) Terengganu memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.


Menurutnya, usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti calon untuk menerajui kerajaan negeri. Bagaimanapun, ujar beliau, setakat ini nama-nama yang difikirkan sesuai belum diterima oleh pihak istana.

‘‘Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu Bab Kedua menyebut pelantikan Menteri Besar hendaklah terdiri daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
‘‘Yang ditekankan di sini bukanlah mereka yang mengetuai parti yang memenangi pilihan raya tetapi mana-mana seorang ADUN yang pada fikiran Sultan Terengganu boleh mendapat kepercayaan ahli-ahli dewan yang mewakili rakyat negeri ini,” katanya.


Jurucakap itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Idris semalam yang menyerahkan kepada pihak istana untuk menentukan tarikh istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar serta kedudukan beliau sama ada dipilih semula atau tidak memegang jawatan itu.
Kedudukan Idris menimbulkan tanda tanya apabila istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar dan ahli Exco kerajaan negeri yang sepatutnya berlangsung pagi kelmarin di Istana Maziah di sini dibatalkan.


Mengulas lanjut, sumber istana itu berkata, Sultan Terengganu sebenarnya bukan melibatkan diri baginda dengan politik sehingga melampaui sempadan, namun apa yang baginda mahu ialah kepentingan dan kesejahteraan rakyat mendapat pembelaan.

Sumber itu menafikan pihak istana campur tangan berhubung pelantikan menteri besar yang baru. Katanya, terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menentukannya.


‘‘Pihak istana sebenarnya tidak campur tangan dalam pemilihan menteri besar, cuma istana mahu mereka yang menjadi menteri besar adalah mereka yang benar- benar diterima oleh rakyat.

‘‘Istana juga mahu mereka yang menjadi Menteri Besar berkemampuan untuk membawa kesejahteraan, kemakmuran dan perpaduan di kalangan rakyat,” katanya.
Setakat ini, antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan Menteri Besar Terengganu ialah ADUN Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera dan ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid.


Turut disebut ialah ADUN Bukit Besi, Din Adam dan ADUN Kijal, Datuk Ahmad Said.
Kesemua mereka merupakan bekas ahli Exco kerajaan negeri pada penggal lepas.


Mohamed dan Rosol masing-masing bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan negeri serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri.

Din pula ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, manakala Ahmad merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri.

No comments: